Latar Belakang Tokoh


Nama sebenar A. Samad Said ialah Abdul Samad Muhammad Said. Beliau dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal Melaka. A. Samad Said memperoleh pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja sehingga lulus darjah IV (1940-1946). Kemudian beliau meneruskan pengajian dalam kelas petang di sekolah Inggeris iaitu Victoria Institution di Singapura hingga memperoleh sijil Senior Cambridge pada tahun 1956.
Pengalaman kerjaya A. Samad Said bermula sebagai kerani di Hospital Umum Singapura sebelum menjadi wartawan setelah lulus Senior Cambridge pada tahun 1956. Beliau juga pernah menjadi pengarang di Utusan Melayu, Berita Harian , Kumpulan The Straits Times dan ketua pengarang akhbar Warta Tebrau. Semasa menjadi pengarang Berita Harian, beliau pernah menyertai kursus korporat di Ashridge Management College, England. Jawatan terakhir A. Samad Said ialah sebagai ketua pengembangan sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times, Kuala Lumpur. Kini, A. Samad Said menjadi penulis sepenuh masa yang aktif berkarya.
Sejak di bangku sekolah lagi, minatnya terhadap sastera mula berputik apabila beliau berjinak membaca karya sastera dalam dan luar negara seperti karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala. Beliau juga membaca karya- karya terkenal barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan Almayer’s Folly. Novel-novel dari penulis tempatan juga turut mendapat perhatian beliau seperti Cinta Gadis Rimba, Balik Dari Medan Perjuangan , Dayang Fatimah, dan Rumah Itu Duniaku. Minat dan kegemaran A. Samad Said dalam pembacaan karya-karya sastera tidak pernah luntur dan berkurangan. Penglibatan A. Samad Said dalam bidang penulisan bermula dengan karya-karyanya yang dihantar ke majalah remaja. Cerpennya yang pertama “ Hari Ini Hari Gembira ” disiarkan dalam Mingguan Suasana, 8 Oktober 1954.
Bermula detik persekolahan hingga kini, A. Samad Said tidak pernah jemu menghasilkan puluhan karya dalam genre novel, puisi, drama, cerpen, dan esei untuk mewarnakan dunia sastera di persada tanah air dan antarabangsa. Antara karya besar yang dihasilkan ialah Salina ( novel ), Al-Amin ( puisi ), Hati Muda Bulan Muda ( cerpen ), Lantai T Pinkie ( drama ), Antara Bulan dan Wira ( esei ), Warkah Eropah ( warkah ). Dalam bidang penulisan, A. Samad Said juga menggunakan nama pena seperti Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra, dan Shamsir.

Read Users' Comments (0)

0 Response to "Latar Belakang Tokoh"

Catat Ulasan